Trip 13 hingga 16 MAC 2006
Setok Ikan di Perairan ADANG yang diakui pemancing makin berkurangan berserta keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan membuatkan saya terkenang dan terimbau trip-trip memancing masa lalu diperairan tersebut terutamanya bagi trip-trip yang membuahkan hasil lumayan dan meninggalkan kenangan yang terpahat dihati. Justru, saya memanfaatkan masa yang terluang ini untuk mengimbau dan mencoretkan kenangan memancing diperairan Nok Kiau dan Adang yang telah dilakukan pada 13 hingga 16 Mac 2006 bersama-sama kawan-kawan dari ‘ASIA’ – Team ( Alor Star Ipoh Angler Team ).
Dah Kena Racun Trip Pertama Januari 2006.
Keseronokan memancing dengan tangkapan ikan yang sangat lumayan pada trip yang dilakukan pada Hari Tahun Baru Cina dalam bulan Januari 2006 telah membuatkan kawan-kawan saya tidak dapat menunggu lebih lama untuk meneroka kembali lubuk-lubuk ikan diperairan Adang dan Nok Kiau, Thailand. Kebetulan pula trip kali kedua tersebut diadakan pada bulan Mac 2006 semasa cuti sekolah selama satu minggu. Saya rasa bukan kerana cuti sekolah tetapi kerana kawan-kawan dah kena racun dan mabuk teringatkan hasil yang diperolehi pada trip pertama Januari 2006 yang lepas. Lumayan, tangkapan ikan semasa trip pertama 2006 dimana kami berjaya mendaratkan 57 ekor jenahak dalam skala berat 3 hingga 6 kilo seekor berserta lain-lain spesis ikan. Malangnya kerana kesibukan memancing dan mungkin kerana faktor keletihan tiada seorang pun dari kami berempat yang teringat untuk merakamkan gambar sewaktu trip tersebut. Disebabkan kawan-kawan dah ketagih serta mendesak, saya pun menempah bot Saudara Imron Bin Dat ( Pak Bara ) untuk trip memancing dari 13 hingga 16 Mac 2006. Saya mula menggunakan khidmat tekong ini sejak tahun 1997 hinggalah sekarang. Trip kali kedua 2006 itu disertai oleh 6 orang pemancing iaitu saya – Ali (Alor Star), Cikgu Ujis, Cikgu Caom, Saudara Salleh, Saudara Zamani dan Saudara Sri Packer ( Ipoh).
Perjalanan Dari Ipoh Ke Pak Bara.
Perjalanan dari Ipoh oleh 5 orang pemancing bermula jam 11.00 pagi dengan 2 buah kenderaan dan saya menyertai mereka dari Alor Star. Kereta Saudara Salleh ditinggalkan dirumah saya di Alor Star dan perjalanan diteruskan dengan kenderaan saya dan Cikgu Ujis. Perjalanan ke Jeti Pak Bara melalui Wang Klian dan Wang Prachan dipenuhi pemandangan indah dengan panorama kehijauan hutan dan bukit bukau adalah sangat menyamankan mata yang memandang. Sampai sahaja di jeti Pak Bara, tekong bot Saudara Imrom bin Dat telah menunggu dengan anaknya Saudara Rashid. Kami terus memindahkan barang-barang yang dibawa ke dalam bot. Jam 6.00 petang bot bergerak ke Ko Tarutao untuk aktiviti mencari sotong sebagai umpan. Sambil menunggu tekong menantikan masa yang sesuai untuk menjerat / menangkul sotong kami pula mengisi masa dengan mencandat sotong. Banyak sotong yang berjaya dicandat oleh kami pada malam itu.
Gerpoh Tunjuk Aksi
Jam 4.00 pagi setelah cukup bekalan umpan sotong hidup diperolehi bot terus digerakan terus ke Nok Kiau tanpa singgah di Ko Adang yang mana perjalanannya mengambil masa 4 jam. Pancingan awal pagi hari kurang memuaskan tetapi disekitar jam 10.00 pagi kami dikejutkan dengan amukan dan lonjakan Ikan Gerpoh pada jarak 15 – 20 meter sahaja dari sebelah kanan bot secara tiba-tiba sahaja. Cukup banyak dan terdapat 2 kumpulan yang sedang ‘mandi pagi’ – bak kata Saudara Zamani yang pertama kali menyertai kami memancing di Thailand. Bagi Saudara Sri pula dia berasa seram dan gerun melihat perlakuan Ikan Gerpoh melakukan ‘boilling’ seperti itu yang mana ia adalah kali pertama beliau melihat sendiri dalam sejarah hidupnya sebagai pemancing .Tiga popper dilontarkan serentak tetapi sambaran Gerpoh yang anggaran beratnya sekitar 15 kg – 20 kg keatas tidak tepat mengenai popper saya. Jelas dapat dilihat lonjakan badan Gerpoh tersebut. Bagi kaki pancing sambaran tidak tepat dengan Gerpoh melonjakan badannya tentu mencabar kehandalan kita. Dua popper lagi langsung tidak diusik. Mulalah macam-macam cabaran dilontarkan dari mulut pemancing kepada Gerpoh yang tidak pun dapat mendengar dan memahami apa yang dikatakan oleh pemancing. Masing-masing sibuk menceritakan amukan serta aksi gerpoh itu terutama bagi yang pertama kali melihat gerpoh melakukan aksi ‘boilling’.
Balasan Dendam Gerpoh
Pada awal malam sekitar jam 9.00 hingga 11.00 malam kami dikejutkan dengan sambaran ikan gerpoh ( mengikut pendapat tekong ) yang bagak-bagak belaka. Lapan sambaran gerpoh mengenai kekili letrik Daiwa Seaborg Bull 1000 -1 kali, Daiwa Tanacom Bull 750 – 1 kali, Command X4 – 1 kali , Shimano TLD 30 (2 Speed) - 2 kali, Tica 30 wt - 1 kali dan juga Accurate Boss Magnum 665H - 2 kali. Enam sambaran memutuskan tali sulaman dengan kekuatan 80 paun dan satu sambaran memutuskan tali mono Bearkly Big Game 80 paun. Daiwa Seaborg Bull 1000 saya yang menggunakan tali utama sulaman 80 paun dan dipadankan dengan perambut berkekuatan 80 paun dengan swivel 150 paun terbuka klip swivelnya. Kekuatan drag yang sememangnya saya tetapkan pada 9 kg ditarik tidak sampai 2 minit dan memuntahkan tali hampir 300 meter dan akhirnya bila drag diketatkan lagi gerpoh tersebut bolos kerana swivel klip terbuka. Terkejut satu bot dan Saudara Zamani yang merupakan ahli baru yang begitu kecoh dan becok mulut dengan lawak-lawaknya terdiam dan rasa gelabah sehingga 10 kali membaca ayat kursi. Mungkin dia ingat jin air dok buat kacau kot. Manakan tidak, dia seorang sahaja diserang 2 kali hinggakan Cikgu Caom dan Saudara Sri terpaksa membantu beliau demi menyelamatkan joran Daiwa dan kekili Shimano TLD 30 Saudara Salleh yang digunakanya. Jika dibiarkan dia seorang sahaja, saya jamin ke dalam lautlah joran dan kekili tersebut kerana beliau memegang pancingnya semasa disambar gerpoh. Jelas joran tersebut melengkung C sepenuhnya ditarik sang Gerpoh ke bawah bot. Mungkin kumpulan Gerpoh tersebut datang untuk membalas dendam akibat cabaran yang dilontarkan kepada mereka pada sebelah pagi tadi. Rata-rata semua larian yang dilakukan oleh Gerpoh hingga mengosongkan tali dimesin pancing tidak melebihi 2 minit. Apa pun terfikir juga oleh saya apakah kami digasak oleh gerpoh bagak atau “One Way Ticket” yang sudah tentu bagak-bagak belaka. Bila dah kena baru tahu. Letih…… Buat apa semua tak jadi. Single drag ke Twin drag ke, semua diseret-seret sampai habis. Duit pun habis juga le. Hampir RM 500 – 600 nilai tali sulaman masuk kedalam laut. Menyesal……tidak….letih juga le poket tu…..
Rezeki Tak Kemana.
Bagaimana pun rezeki tetap ada. Kata orang kalau dah rezeki tak akan kemana. Cikgu Ujis adalah pemancing yang pertama mendapat sambaran ikan Jenahak dan berjaya didaratkan oleh beliau sekitar jam 12.30 tengah malam. Selepas itu pesta menaikkan ikan Jenahak berterusan sehingga jam 4.30 pagi. Sebanyak 35 ekor Ikan Jenahak dalam lingkungan berat 4 hingga 6 kilo berjaya didaratkan dalam masa 4 jam setengah. Walaupun tangkapan trip ini tidak dapat mengatasi trip pertama Januari 2006 ( 57 ekor jenahak ) yang dipancing oleh 4 orang pemancing sahaja iaitu Ali, Cikgu Caom, Cikgu Ujis dan Saudara Salleh. Bagaimanapun pengalaman digasak oleh ikan gerpoh bagak-bagak sebanyak 8 kali rasanya berbaloi walaupun tidak dapat ditewaskan. Lain-lain spesis ikan yang diperolehi ialah ikan kerapu bara, berangan, tamak, gerut-gerut, 1 ekor tenggiri, nyiok-nyiok dan juga ikan pari minyak. Ikan pari minyak dengan anggaran beratnya sekitar 40 - 45 kg berjaya didaratkan oleh Cikgu Caom bersama-sama Saudara Sri pada malam ketiga. Bagaimana pun berat sebenarnya tidak dapat ditimbang kerana timbangan yang kami ada hanya untuk timbangan seberat 25 kg sahaja. Pada agakan mata kasar, tekong bot menganggarkan beratnya ikan pari tersebut melebihi 40 kg dan memerlukan 3 orang untuk menaikanya keatas bot. Pari minyak tersebut kemudiannya dilepaskan semula ke dalam laut. Pancingan malam ketiga terpaksa kami hentikan lebih awal kerana sekitar jam 4.30 pagi kami kehabisan umpan sotong hidup. Umpan sotong mati dan kembong yang dihulur langsung tidak mendapat sambaran ikan.
Keindahaan Alam Maya Waktu Senja.
Seperkara yang sangat-sangat mengingatkan dan merindukan saya pada perairan Adang adalah kerana keindahan kepulauanya dan keindahan alam maya semasa matahari jatuh diufuk barat pada senja hari dan matahari menjelma diufuk timur pada subuh hari. Begitu asyik sekali mata memandang sambil menikmati keunikan ciptaan dan keindahaan ciptaan yang Maha Esa. Tiada tandingannya jika hendak dibandingkan dengan lukisan ciptaan insan bernama manusia.
Nak Balas Dendam Pada Si Gerpoh.
Apabila membincangkan apa yang terjadi dan dilakukan oleh ikan gerpoh bagak tersebut maka kami sepakat menempah bot untuk trip selepas itu iaitu bagi trip 26 hingga 29 Mei 2006. Trip ini juga menghasilkan tangkapan jenahak melebihi 35 ekor. Rata-rata trip kami ke Adang dengan tekong bot ini tidak pernah gagal dan sentiasa menghasilkan tangkapan jenahak melebihi 30 ekor. Sememangnya beliau cekap memburu jenahak. Kesetiaan kepada satu tekong akan dibalas oleh mereka dengan usaha bersungguh-sungguh mencari lubuk terbaik untuk kita. Hingga ketahun ini ( 2010 ) kami masih setia dengan tekong bot ini dan akan terus menggunakan khidmat beliau dimasa hadapan.
Itulah insan yang bernama pemancing…… tak pernah kenal jemu dan serik. Bagi saya hari dan saat-saat indah memancing bersama kawan-kawan sangat saya hargai dan akan sentiasa diingati dan dikenang pada hari tua nanti. Namun…. Masa kini adakah tangkapan ikan gred A sebagitu banyak masih dapat dilakukan di Adang ??????. Dipaparkan gambar-gambar yang menjadi kenangan indah semasa trip memancing tersebut.......
Tip Untuk Mengekalkan Kesegaran Sotong.
Sotong yang dicandat / ditangkul sekiranya berlebihan jangan dibiarkan bercampur dengan air batu. Balut dengan suratkhabar dan masukan dalam bekas kedap air dan simpan dalam bekas air batu. Walaupun selepas 2 hari sotong tersebut masih segar. Jangan masukan air batu dalam bekas sotong tersebut.
Dari kiri...Sri, Ali, Zamani, Ujis, Caom & Salleh.
Seronok rasanya bila sekali-sekala tengok gambar2 lama n teringat cerita2 ketika memancing dengan kawan2..
BalasPadamSuatu pengalaman yang indah n akan tetap menjadi memori selama2nya..
"Fishing is one of the greatest moment in my life"..
Salam Che Bard....macam tu la rasanya bila terkenang saat-saat memancing bersama kawan-kawan. Sekarang ni nak kumpul kawan-kawan lama dalam satu trip pun dah susah. Itu le yang saya cadang nak kumpul kawan-kawan lama pergi mancing kat Teluk siam Mei 2011 nanti. Harap jadi kenyataan.
BalasPadam