Setelah banyak menceritakan kisah memancing ikan, kali ini saya ingin beralih topik pula iaitu kepada topik mencandat - menjala sotong/cumit. Bila sahaja kita memperkatakan berkenaan aktiviti mencandat sotong maka secara otomatik fikiran/ingatan kita akan fokus Trengganu ataupun Kelantan. Memang aktiviti ini agak sinonim dengan kedua-dua negeri tersebut. Tetapi kali ini saya ingin memaklumkan tapak mencandat sotong yang baru iaitu di Negeri Kedah. Aktiviti mencandat sotong telah mula menjadi satu aktiviti baru di Kedah semasa musim angin timur sekarang ini. Mungkin tidak ramai yang mengetahui akan perkara ini kerana ia baru bermula dalam tempoh 2 minggu lalu. Mencandat sotong diselangselikan dengan aktiviti menjala sotong oleh nelayan disini.
Khamis - 24/2/2011 tekong saya iaitu Pak Usop Jarum Mas yang tinggal di Kuala Sala, Kedah telah memaklumkan kepada saya yang beliau sekarang menjala sotong di kawasan perairan Kuala Sala..... betul ke?. Setahu saya tak pernah saya dengar aktiviti menjala atau mencandat sotong di Kuala Sala. Ok....saya maklum kepada beliau petang nanti saya ke Kuala Sala untuk ikut beliau menjala sotong. Beliau berpesan supaya saya membawa peralatan mencandat sotong. Lepas sembahyang maghrib Pak Usop, saya dan anak beliau Zambri terus menaiki bot fiber kepunyaan beliau dan menuju kelokasi mencandat. Kami sampai dilokasi yang terletak lebih kurang 10 minit dari jeti Kuala Sala pada jam 8.00 malam. Genarator yang menjana lampu spotlight 1000 watt dihidupkan dan tidak sampai 2 minit setelah genarator dihidupkan sudah nampak kelibat sotong didalam air. Kami bertiga mencandat dahulu sebelum aktiviti menjala dilakukan.
Setiap 1 atau 2 jam masa mencandat ia diselangselikan dengan aktiviti menjala sotong. Setiap kali menjala hasil yang diperolehi adalah dalam 50 - 120 ekor sotong. Dari jam 8.00 malam hingga 7.00 pagi saya mendapat 7 kg sotong secara mencandat dan Pak Usop mendapat 70 kg secara menjala. Cukup lumayan pendapatan mereka. 70 kg sotong yang dijala mendatangkan hasil dalam Rm 700.00 untuk semalam kepada mereka. Jam 7.30 pagi kami bergerak balik ke jeti Kuala Sala. Untuk pengetahuan pembaca cara menangkap sotong sepertimana yang dipraktikan oleh tekong bot memancing di Pak Bara, Thailand tidak dibenarkan diperairan kita. Sebab itulah nelayan disini menggunakan cara menjala.
Bagaimanapun musim sotong ini dikatakan akan tamat selepas musin angin timur berakhir. Ini bermakna tinggal dalam 2 bulan sahaja lagi untuk menjala/mencandat sotong. Kepada pemancing yang nak merasakan aktiviti mencandat sotong bolehlah berhubung dengan Pak Usop Jarum Mas. No. HP beliau boleh diperolehi dari artikel saya berkenaan beliau dalam blog. Berikut saya paparkan beberapa keping gambar bagi tatapan saudara pembaca.